Seorang lelaki yang menjadikan murid Tahun 6 sebagai hamba seks dengan mengumpan syabu sebagai upah ditahan polis dalam satu serbuan di rumahnya di Taman Setia Jaya, di sini, pada pukul 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin memaklumkan suspek yang berusia 24 tahun itu ditahan selepas polis melakukan serbuan kali kedua di kediamannya.

Saringan ujian air kencing ke atas suspek walau bagaimanapun mendapati ia negatif dadah.

Dia kini ditahan reman sehingga 18 Oktober depan dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Semalam, media melaporkan seorang murid Tahun 6 menjadi mangsa seks untuk habuan dadah selepas berkenalan dengan teman lelakinya melalui aplikasi mudah alih WeChat.

Ibu dan bapa mangsa yang menyedari perubahan remaja itu membawanya melakukan pemeriksaan di hospital sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.