Persoalan sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati atas kesalahan pengedaran dadah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kepada Perdana Menteri.

Ramkarpal juga ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes sekiranya kerajaan memansuhkan hukuman mati bagi jenayah itu.

Selain itu, perkara yang dijangka menjadi tumpuan adalah soalan daripada Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Noh meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan suatu jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah bagi menaik taraf perkhidmatan serta integriti institusi berkenaan.

Dalam sesi yang sama, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memberi bantuan kepada Lubnan susulan letupan bom di Beirut yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 kematian dan 4,000 kecederaan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA