Kerajaan negeri sedia maklum mengenai penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), yang ditutup berkuatkuasa hari ini.

Menurut Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing, keputusan muktamad berhubung penutupan itu dibuat antara Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan pihak bank.

"Selama ini kita tahu ada masalah (MAPS) tapi cuma keputusan muktamadnya antara bank dengan Lembaga Pengarah (BOD) PKNP. Keputusan akhir sama ada berkemungkinan diambil alih oleh pihak bank atau ditutup adalah keputusan BOD.

"Kita maklum ada masalah berlaku dan sebelum ini pernah berbincang mengenai pihak bank nak ambil alih sebab kegagalan membayar hutang.

"Kemungkinan (penutupan) itu memang sejak tahun baharu hari itu.. pernah tutup sehari, jadi kita tahu ada kemungkinan begitu, sehingga notis kata ia tutup dan saya baru tahu sehari sebelumnya.

"Saya fikir Menteri Besar sedia maklum (penutupan) dan maklum balas terperinci sewajarnya dirujuk dengan Menteri Besar selaku Pengerusi PKNP," katanya.

Kar Hing berkata demikian ketika dihubungi mengenai status terkini taman tema itu yang tular di laman sosial mengenai penutupannya berkuat kuasa Selasa.

Terdahulu, taman tema MAPS di Ipoh yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup mulai hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Segala kesulitan akibat penutupan MAPS amat dikesali, menurut notis berkenaan.

Sementara itu, tinjauan media di MAPS hari ini mendapati masih ramai pengunjung yang tidak tahu mengenai penutupan itu.

Rata-rata antara mereka datang di hadapan pintu utama MAPS dan merasa kecewa kerana tidak berpeluang beriadah bersama keluarga.

Salah seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Yap Beow Soon, 33, berkata MAPS berpotensi menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Saya dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dan singgah sini (MAPS), saya dapati ia tutup dan agak kecewa juga.

"Kalau boleh mereka buat notis lebih awal tentang penutupan itu di mana-mana media sosial. Ini kali pertama saya ke sini dengan keluarga tapi tiba-tiba tutup pula," katanya.