Tutup

Maqis Pulau Pinang gagalkan cubaan bawa masuk daging kerbau sejuk dari India

Maqis Pulau Pinang gagalkan cubaan bawa masuk daging kerbau sejuk dari India
Daging kerbau sejuk beku yang dibawa masuk dari India dirampas kerana tidak mematuhi syarat permit import yang di tetapkan. - Gambar Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
GEORGE TOWN: Cubaan syarikat pengimport membawa masuk daging kerbau sejuk beku dari India ke negara ini tidak berjaya apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Dalam serbuan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Khamis 279,960 kilogram daging kerbau sejuk beku bernilai RM3.5 juta dirampas kerana tidak mematuhi syarat permit import yang di tetapkan.
Pengarah Maqis Negeri, Zarina Ramli berkata, semua daging kerbau sejuk beku itu dibawa masuk menerusi 10 kontena secara berasingan sejak 22 Oktober hingga 14 November lepas oleh sebuah syarikat yang sama.

"Pemeriksan kami mendapati 13,991 kotak daging kerbau sejuk beku itu dari India itu tidak mematuhi syarat permit import yang telah di tetapkan oleh Maqis malah logo halal yang di gunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran produk daging tersebut adalah berbeza.
"Logo halal yang digunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran itu juga bukan logo yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 279,960 kilogram daging kerbau sejuk beku dibawa masuk menerusi 10 kontena secara berasingan sejak 22 Oktober hingga 14 November. - Gambar Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia

Berikutan itu, Maqis telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM28,000 terhadap syarikat tersebut selain memberi amaran atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat import yang sah.

Zarina berkata, perbuatan mengimport daging kerbau tidak mematuhi syarat seperti yang di tetapkan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan menurut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan di denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, Maqis Pulau Pinang sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan lain di semua pintu masuk negara dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang di teruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," kata beliau lagi.


Tag: import, daging kerbau beku, India, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Maqis, Pulau Pinang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.