Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 360 unit payung yang diperbuat daripada buluh bernilai RM9,600 di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Ahad lalu.

Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind Paul Pakianathan berkata produk berasaskan keluaran pertanian itu dirampas selepas didapati tidak mempunyai permit import yang sah.

"Hasil pemeriksaan di kompleks kargo tersebut, MAQIS telah menahan 12 kotak yang setiap satunya mengandungi 30 unit payung yang diperbuat daripada buluh, yang tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS dan Sijil Fitosanitari daripada negara asal.

"Rampasan seberat 228 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM9,600.00," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAQIS telah menahan 12 kotak yang setiap satunya mengandungi 30 unit payung yang diperbuat daripada buluh. Foto MAQIS

Lily Rosalind berkata, kesemua buluh yang dirampas akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) atas kesalahan tidak mempunyai dokumen permit import.

Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Pihak MAQIS sentiasa peka dan bersedia melaksanakan tanggungjawab memantau dan melakukan pemeriksaan ke atas kemasukan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kesemua payung buluh yang disita itu akan disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 atas kesalahan tidak mempunyai dokumen permit import. - Foto MAQIS