Cubaan pasangan suami isteri warga tempatan membawa masuk 11 kilogram sarang burung walit bernilai kira-kira RM8,800 dari Filipina gagal apabila ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Pasangan berkenaan membawa masuk sarang burung berkenaan menerusi pos dari Filipina tanpa sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) membuat pemeriksaan di Pejabat Pos Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada jam 12 tengah hari Selasa berjaya mengesan sarang burung walit berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan berusia 40-an itu telah membawa masuk sarang burung walit yang sudah tercemar dan berbau busuk melalui pos serta tanpa sebarang dokumen permit import serta sijil kesihatan dari Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tujuan larangan pengimportan sarang burung yang tercemar adalah bagi menghalang risiko penyakit selsema burung ke Malaysia dan penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan industri penternakan burung dalam negara sekiranya tersebar.

Menurutnya, virus Avian Influenza (AI) biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda serta manusia.

Zarina berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan kes berkenaan termasuk mengenal pasti sejak bila mereka membawa masuk sarang burung walit melalui pos.

Katanya, perbuatan mengimport sarang burung walit tanpa permit yang sah dari Maqis merupakan suatu kesalahan menurut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya.

Menurutnya, pihak Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang di import ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan dan keselamatan.