MARA Digital di Sungai Rambai, Melaka dan Larkin, Johor akan beroperasi awal tahun hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam peniagaan runcit industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, seramai 109 usahawan Bumiputera menerima manfaat berniaga di empat buah MARA Digital iaitu di Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor, Ipoh,Perak dan Kuantan.

Beliau berkata kementeriannya akan terus meneliti peluang untuk merealisasikan hasrat mewujudkan sekurang-kurangan sebuah MARA Digital di setiap negeri, kerana produk berkaitan ICT mempunyai pasaran yang luas.

"Matlamat jangka panjang kementerian ialah memperluaskan MARA Digital ke peringkat daerah, selepas berjaya membuka MARA Digital di semua negeri. Bagaimanapun, untuk peringkat daerah, skalanya lebih kecil seperti di arked MARA.

"Kita tidak mahu Bumiputera ketinggalan dalam perniagaan ICT yang merupakan perniagaan alaf baharu sedangkan mereka adalah pembeli terbesar gajet ICT," katanya pada sidang media selepas merasmikan MARA Digital Kuantan di Plaza Gambut di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kementerian memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk membantu mengenal pasti bangunan milik mereka yang boleh dibangunkan sebagai MARA Digital, seperti di Sungai Rambai yang diwujudkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Ini bagi memudahkan kementerian untuk memberi pengecualian bayaran sewa selama enam bulan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan di MARA Digital sebagai tarikan kepada peniaga dan untuk membantu mereka mengukuhkan kewangan sebelum membayar sewa, katanya.

Ismail Sabri berkata sambutan pengunjung ke MARA Digital juga adalah baik merujuk kepada jumlah jualan yang dicatatkan oleh MARA Digital Kuala Lumpur sebanyak RM28.3 juta sejak ditubuhkan pada Disember 2015.

"Kita bagaimanapun mengakui berlaku sedikit kemerosotan di MARA Digital Anggerik Mall Shah Alam kerana kedudukannya yang agak tersorok dan persaingan daripada beberapa pusat beli-belah sekitarnya selain tiada tarikan kedai lain di situ untuk pengunjung datang.

"Proses untuk mengatasinya sedang dilakukan... kita berharap Kementerian Kewangan boleh bersetuju dengan cadangan kementerian untuk mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di situ bagi menarik kehadiran orang ramai yang mahu berurusan dengan jabatan kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai MARA Digital Kuantan yang setakat ini menawarkan 18 ruang niaga, Ismail Sabri berkata keunikannya ialah terdapat ruangan jualan produk usahawan desa dan beliau berpendapat idea itu boleh diteruskan di negeri lain.

Katanya, pembeli juga tidak perlu bimbang dengan risiko membeli produk palsu kerana dasar kementerian mewajibkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam jawatankuasa MARA Digital memastikan ketulenan produk.

Ismail Sabri berkata untuk memastikan Bumiputera memiliki tenaga mahir dalam pembangunan gajet ICT pada masa hadapan, institusi di bawah kementerian seperti GiatMara telah memulakan kursus berkaitan industri itu.

"GiatMara telah mempunyai kursus jangka pendek membaiki telefon pintar manakala Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan Universiti Kuala Lumpur ada menyediakan kursus berkaitan kejuruteraan, perisian komputer dan multimedia.

"Kita tidak mahu Bumiputera hanya menjadi pembeli atau penjual dalam bidang ICT tapi turut bersaing dalam perkhidmatan selepas jualan, sebagai pengedar dan pengimport yang menjanjikan pasaran luas," katanya.

Ismail Sabri berkata kajian dilakukan firma penyelidikan pasaran GFK mendapati rakyat Malaysia berbelanja sekitar RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar bagi tempoh Mac 2016 hingga Feb 2017, meningkat daripada RM5.4 bilion pada 2015.

-- BERNAMA