Lebih banyak pemimpin, termasuk Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa, perlu bertanggungjawab dalam isu pembelian hartanah di Australia, kata Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.

Beliau juga menuduh Annuar cuai dalam tugasnya sebagai pengerusi walaupun dia telah diberi taklimat mengenai pembelian empat hartanah di Melbourne oleh MARA Inc ketika melawat Melbourne pada Mei tahun lepas.

Lim juga berkata pembelian hartanah oleh MARA adalah satu lagi contoh kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam misi memerangi rasuah.

Mengulas laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa sejumlah besar dana 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Lim berkata ia telah dibayangi pembelian MARA Inc di Australia.

"Yang terbaharu ini lebih kecil bukan sahaja dari segi jumlah wang yang terlibat, tetapi juga implikasi politik dan akibatnya.

"Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna rasuah, salah laku dan muslihat politik dalam skandal hartanah MARA bernilai RM100 juta boleh diabaikan," katanya.

Pada Khamis, MARA telah memutuskan menggantung tugas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc buat sementara waktu untuk memudahkan siasatan berkaitan pembelian hartanah kontroversi di Melbourne, Australia.

Mereka adalah Datuk Mohamad Llan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abd Halim A. Rahim.

Pembelian tersebut terbongkar selepas akhbar Australia, The Age melaporkan bahawa pegawai atasan MARA, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli sebuah blok apartmen di Melbourne dalam penipuan jual beli hartanah.

Laporan itu mendakwa beberapa pegawai atasan di Malaysia telah membayar lebih daripada harga pasaran sebanyak AS$4.75 juta (RM13.8 juta) dalam pembelian Dudley International House pada 2013.

Selain pembelian Dudley International House dan 333 Exhibition Street, MARA juga didakwa membayar harga tinggi sebanyak RM18 juta untuk hartanah 51 Queen Street.