Trend jenayah masa kini sentiasa berubah ekoran pelbagai modus operandi baharu yang digunakan penjenayah bagi mengelakkan diri mereka dikesan.

Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia terus giat menjalankan operasi khas bagi mengekang jenayah maritim.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, tugas penguatkasa adalah untuk sentiasa selangkah kehadapan terutama dari segi teknologi bagi memastikan strategi mereka sentiasa seiring dengan taktik penjenayah.

“Kita mula operasi ini pada April tahun lalu. Operasi khas ini juga melibatkan pelbagai agensi antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan yang mana masing-masing membawa peranan yang penting,” katanya.

Beliau berkata, menerusi operasi bersepadu Op Naga di Laut China Selatan sahaja, APMM telah berjaya menahan sejumlah 127 buah bot nelayan asing.

“Sementara itu, Op Naga di bahagian timur, iaitu melibatkan Sabah dan Sarawak, ketika ini kita telah berjaya menahan sejumlah 42 bot nelayan asing,” tambahnya ketika dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI dan penyampai radio Astro Gegar Nazz dan Ewan pada Selasa.

Mengulas lanjut berkenaan tarikh baharu bagi sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia, Mohd Zubil berkata, tema bagi sambutan itu telah dipilih iaitu ‘Maritim Perkasa Samudera Sejahtera.’

“Tema ini dipilih kerana kita ingin menonjolkan kekuatan-kekuatan yang ada pada APMM iaitu melalui aset-aset dan infrastruktur yang kita ada dalam membanteras jenayah.

Selain itu, kita juga sentiasa ingin memperkasakan warga APMM sendiri supaya bersifat integriti dan tidak mengamalkan rasuah. Akhirnya, barulah kita boleh katakan sebagai samudera yang sejahtera,” jelas beliau.

Acara bersejarah itu akan diadakan pada 23 Februari bertempat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan, Pahang.

Kata beliau, sambutan kali ke-15 ini, menjangkakan kelainan berbanding sebelum ini dari segi semua aspek.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zubil turut memaklumkan bahawa APMM bakal mengeluarkan filem berjudul, Coast Guard yang bakal ditayangkan pada bulan Ogos ini.

Beliau berkata, filem itu bertujuan untuk memberi gambaran tentang peranan dan tugas-tugas Maritim Malaysia yang sebenar.