Rondaan dan pemantauan di perairan negara terus dipertingkatkan sepanjang Aidilfitri ini bagi mencegah sebarang bentuk pencerobohan di perairan negara terutamanya nelayan asing.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan nelayan asing terutama warga Vietnam akan mengambil kesempatan di musim perayaan ini untuk memasuki perairan Malaysia.

Justeru itu, pihaknya terus mengetatkan kawalan di perairan bagi membanteras kegiatan seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.

Katanya, sempena raya ini, sebanyak empat kapal dan lima bot dengan 100 kekuatan digerakkan bagi melaksanakan rondaan di perairan Terengganu.

Menurut Muhammad Suffi sepanjang operasi COVID-19 khas laut dilaksanakan pada Mac lalu, kira-kira 60 bot nelayan asing Vietnam berjaya dihalau keluar dari perairan sempadan Malaysia.

Beliau berkata, pengusiran bot asing itu selaras dengan arahan kerajaan dalam usaha menyekat penularan wabak berjangkit COVID-19 kepada rakyat di negara ini.

Jelasnya, bagi memastikan bot nelayan asing yang diusir itu tidak kembali semula memasuki perairan Terengganu, pihaknya tidak sewenang-wenangnya melepaskan mereka.

Katanya tindakan tegas telah diambil ke atas bot-bot terbabit seperti merampas semua peralatan menangkap ikan, membuang bekalan ais dan bekalan air tawar ke laut supaya mereka tidak berupaya lagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Kapal Maritim Malaysia juga akan menghimpit dan mengiring bot-bot mereka hingga keluar daripada sempadan perairan Malaysia.

Beliau turut meminta komuniti Maritim agar membantu dengan menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat dan aduan dengan cepat ke talian Mers 999 atau 09-6224357 (pusat operasi) Maritim Negeri Terengganu.