Syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) telah memperkenalkan sistem muat turun data penerbangan setiap 15 minit bagi penjejakan pesawatnya mengikut masa nyata.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau telah mengarahkan MAS memasang sistem penjejakan pesawat itu sebagai langkah meningkatkan keselamatan pesawat.

Malaysia merupakan penyokong kuat bagi penggunaan sistem penjejakan masa nyata itu susulan insiden pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang tahun lepas.

"(Muat turun data) setiap 15 minit, amat hampir dengan masa nyata. Bagi pesawat dan industri penerbangan, muat turun isyarat dan pemprosesan data setiap 15 minit adalah amat penting," katanya pada taklimat media di sini hari ini bersempena genap setahun insiden MH370 hilang.

Penerbangan MH370, membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Liow berkata Malaysia ketika ini bekerjasama dengan Australia bagi penggunaan sistem penjejakan pesawat itu dan menyambut baik usaha Australia untuk menambah baik sistem itu.

Malaysia, katanya telah mencadangkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mesyuarat majlis pertubuhan itu di Montreal, Kanada pada Oktober lepas supaya mengkaji pemasangan sistem penjejakan penerbangan masa nyata pada semua pesawat komersial antarabangsa.

"ICAO mengambil perhatian serius cadangan itu dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menganalisis cadangan itu dan akan mengumumkan keputusan mereka menjelang 31 Ogos.

"Terdapat syarat tertentu bagi penggunaan sistem penjejakan masa nyata ini," kata Liow.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata sistem penjejakan yang dipasang oleh MAS telah membolehkan masa pelaporan antara pesawat dan stesen di bumi dikurangkan kepada antara 10 dan 15 minit berbanding 30 minit sebelumnya.

"Boeing 777 kini dilaporkan setiap 15 minit manakala Boeing 737, Airbus A330 dan A380 dilaporkan setiap 10 minit. Ini satu pencapaian," katanya dalam taklimat media berasingan di sini hari ini bersempena genap setahun insiden kehilangan MH370.

Katanya Malaysia dan Indonesia juga kini bekerjasama dengan Australia untuk memiliki mekanisme penjejakan masa nyata yang sedang diuji oleh Qantas Airways dan Virgin Australia Airlines.

"Kedua-dua syarikat dilaporkan menggunakan sistem CPDLC (Controller–pilot data link communications (komunikasi rangkaian data juruterbang-pengawal)). Ia serupa dengan SMS (khidmat pesanan ringkas), sistem 'downlink' daripada pesawat ke stesen di bumi dan 'uplink' daripada stesen ke pesawat setiap 10 minit berbanding 15 minit.

"Tetapi ini masih di peringkat ujian, bukan bermaksud kami bersetuju untuk memasangnya," katanya dan menurutnya pesawat syarikat-syarikat penerbangan Malaysia akan dipilih secara rawak untuk menjalani ujian itu.