Malaysia Airlines System Berhad (MAS) melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan Lembaga Keselamatan Belanda yang mengeluarkan laporan siasatan akhir yang terperinci dan menyeluruh mengenai pesawat MH17.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, ia melahirkan penghargaan di atas sokongan kerajaan Belanda dalam menangani semua aspek tragedi pesawat dan dalam mengetuai aspek teknikal siasatan.

"MAB telah bekerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Belanda dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat.

"Kami mengalu-alukan penerbitan laporan itu dan berharap ia akan menjelaskan kepada keluarga terbabit mengenai insiden tragik berkenaan," katanya.

Sementara itu MAS turut memberi jaminan kepada kaum keluarga bahawa syarikat penerbangan kebangsaan berkenaan akan tetap bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai semua isu berhubung kait dengan MH17.

"MAS juga memberi jaminan kepada semua sanak saudara bahawa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai semua perkara berhubung kehilangan penerbangan MH17 dan sokongan kami kepada keluarga berkenaan akan berterusan sehingga semua isu selesai," katanya.


Pada 17 Julai, penerbangan MH17 yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam yang membawa 298 penumpang dan anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine.

Ia membawa 193 orang warga Belanda, Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), the United Kingdom (10), Belgium (empat), Jerman (empat), Filipina (tiga) dan Kanada serta New Zealand (masing-masing seorang).