Tutup

Masa depan cerah untuk perenang negara

Masa depan cerah untuk perenang negara
Perenang muda semakin meningkat dan menunjukkan mereka bakal menjadi pesaing yang disegani di masa hadapan. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Skuad renang negara mempunyai potensi untuk menjadi satu pasukan yang menyerlah di masa hadapan berdasarkan aksi yang memberangsangkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Disember lepas.

Ketua Jurulatih Skuad Renang negara, Chris Martin berkata beliau tertarik dengan perenang remaja yang mempamerkan keberanian bersaing dengan beberapa nama terkenal walaupun gagal mendapat penyudah podium dalam sukan dwitahunan itu.
"Saya sangat gembira dengan prestasi perenang negara. Kami ada dua veteran (Welson Sim dan Phee Jinq En) dan sekumpulan perenang muda bertanding dalam Sukan SEA. Seorang daripada veteran, prestasinya kurang daripada sasaran sementara seorang lagi melakukan lebih daripada apa yang kami jangkakan.

Perenang muda semakin meningkat dan menunjukkan mereka bakal menjadi pesaing yang disegani di masa hadapan," katanya kepada wartawan selepas menghadiri mesyuarat post-mortem Sukan SEA 2019 bersama wakil Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia, pada Selasa.
Dalam hal ini, Martin yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat dan berpengalaman menjadi jurulatih selama 30 tahun termasuk di tanah airnya berkata berdasarkan keputusan perenang negara dalam Sukan SEA 2019, Malaysia ketinggalan jauh di belakang Singapura dan Vietnam.

"Tahap perenang kita sama sahaja dengan lain-lain lawan serantau, dan kami perlu keluar daripada kelompok itu," katanya.

Malaysia hanya memperoleh dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk mengakhiri di tempat ketiga keseluruhan acara renang Sukan SEA 2019, yang berlangsung di Pusat Akuatik New Clark City.

Ia hanya kurang satu emas daripada sasaran awal tiga emas yang ditetapkan Martin sebelum penyertaan mereka di dalam sukan dwitahunan itu.

Pasukan terhandal serantau, Singapura mengekalkan juara keseluruhan dalam acara renang sejak edisi 2005 di Filipina dengan mengumpul 23 emas, 10 perak dan empat gangsa sementara Vietnam di tempat kedua dengan 10 emas, enam perak dan sembilan gangsa.

-- BERNAMA