Tutup

Masa depan Melayu, tanggungjawab siapa?

Masa depan Melayu, tanggungjawab siapa?
Pelajar UiTM memeriksa Jalur Gemilang gergasi yang akan dibawa pada perbarisan sempena Hari Kebangsaan baru-baru ini. --fotoBERNAMA/Gambar hiasan
MELALUI laman blog chedet.cc, Tun Dr Mahathir Mohamad mencatatkan, "Nasib kita, di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesaikan masalah kita". Malaysiakini pula menulis tajuk "Tuan apa Melayu itu, soal Mahathir". Melalui catatan itu Tun M mengimbau kembali zaman yang pernah dilaluinya berlatar belakangkan Alor Setar. Andai ditanya generasi yang seusia dengan beliau, walau di mana sekali pun mereka membesar jalan cerita orang Melayu tentu tidak jauh bezanya. 

Jika menyoroti sejarah, Orang Melayu telah mengalami keperitan yang panjang, iaitu berada di bawah kekuasaan asing selama 467 tahun. Orang Melayu pernah dijajah oleh empat kuasa asing, Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), British (1824-1941 dan 1945-1957), dan Jepun (1941-1945). Sudah pasti banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh kesan daripada penjajahan tersebut. Yang pasti memang wujud perbezaan bagi setiap siri penjajahan kuasa-kuasa itu, sama ada secara lunak atau kekerasan. Andai lunak sebagai pendekatan penjajah, maka ramailah yang memuji dan berasa selesa. Jika kekerasan tindakannya, maka banyak pejuang Melayu yang terkorban lantaran mempertahankan tanah airnya. Semua ini terpahat dalam lipatan sejarah dan kadang-kadang tidak dipedulikan lagi lantaran keselesaan yang dinikmati pada hari ini.
Kritikan dan peringatan

Pun begitu, pernah suatu ketika orang Melayu digambarkan mundur dan tidak bertamadun oleh orang Barat. Sir Frank Swettenham (1850-1946), yang pernah menjadi Residen Selangor melalui bukunya 'Perihal Orang Melayu' mencatatkan orang Melayu sangat percaya kepada perkara tahyul, gemar berjudi, suka menyabung ayam, pemalas, tidak mementingkan soal masa dan tidak sistematik dalam peraturan hidup serta mempunyai sikap berpuak-puak. Sebelum itu, Francis Light ketika menjadi Gurnadur di Pulau Pinang sekitar tahun 1776 - 1894 juga menganggap orang Melayu malas berbanding orang Cina. Begitulah juga dengan J.W.W. Birch yang menganggap adat istiadat orang Melayu kolot ketika menjadi Residen British di Perak sebelum mati dibunuh pada November 1875 di Pasir Salak.

Situasi pasca PRU14 agak berbeza. Sekali imbas, seolah-olah hak dan kedudukan orang Melayu sedang dicabar.


Kritikan terhadap orang Melayu berterusan termasuklah dalam kalangan bangsanya sendiri. Abdullah Abdul Kadir Munsyi mendedahkan kelemahan orang Melayu melalui karyanya 'Kisah Pelayaran Abdullah'. Za'aba memperihalkan orang Melayu melalui artikelnya 'The Poverty of the Malays' yang disiarkan dalam akhbar The Malay Mail pada 31 Disember 1923 dan 'The Salvation of the Malays' (Jalan Keselamatan Orang Melayu) - kedua-dua artikel ini disematkan dalam buku 'Jejak-jejak di Pantai Zaman' oleh Profesor Diraja Ungku A. Aziz pada tahun 1974. Krtikan lebih pedas apabila terbitnya The Malay Dilemma, karya Dr Mahahir Mohamad pada tahun 1970 di Singapura. Sekalipun buku ini diharamkan di Malaysia sejak pentadbiran Tunku Abdul Rahman, namun ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1982 buku ini kembali 'halal'. 

BACA: 'Orang Melayu sendiri kurang sokong peniaga Melayu' 

Semua ini tidak wajar dipandang negatif atau suatu penghinaan tetapi sebagai peringatan. Secara tidak langsung menuntut orang Melayu agar bermuhasabah perihal bangsanya sendiri. Hakikatnya, Melayu itu dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika identiti Melayu yang dicari rujuklah Perkara 160(2), iaitu beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat-istiadat Melayu. Andai keistimewaan yang diinginkan, tafsiran Perkara 153 sudah memadai. Tidak perlu kita melalut dan menerawang sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah terkandung pelbagai panduan dan peraturan bagi setiap warganegara Malaysia. 

Pencapaian dan kesedaran

Sejak merdeka pencapaian orang Melayu dalam pelbagai aspek khususnya pendidikan dan ekonomi semakin bertambah baik. Golongan profesional dan tenaga mahir orang Melayu semakin membanggakan. Tanpa mendiskriminasi kepentingan sah kaum-kaun lain, melalui peruntukan 30 peratus Dasar Ekonomi Baru, sekalipun tidak mencapai sasarannya ia tetap memberi manfaat kepada orang Melayu. Begitulah juga dalam bidang pendidikan, kerajaan sentiasa berusaha menambah bilangan pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang sains melalui matrikulasi dan UiTM. Hasilnya, menjelang tahun 2000 sudah ramai saintis dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai literasi saintifik atau kesedaran sains yang tinggi.

BACA: Tindakan boikot barangan pengusaha bukan Muslim tidak wajar - Kabinet  

Namun, situasi pasca PRU14 agak berbeza. Sekali imbas, seolah-olah memperlihatkan hak dan kedudukan orang Melayu sedang dicabar. Pelbagai pertikaian bersangkutan dengan orang Melayu menjadi perbahasan terbuka yang melibatkan isu agama, bahasa, tulisan politik dan ekonomi. Pantang dicuit sedikit isu-isu ini kerap diheret sebagai natijah perkauman. Jika dibiarkan berterusan dan tidak ditangani secara bijak pasti memberi impak negatif terhadap perpaduan antara kaum.

Pemuja dan juak-juak politik

Hal ini menjadi semakin rumit apabila wujud segelintir pemuja dan juak-juak politik yang berapi-berapi membangkitkan sentimen perkauman. Setiap ucapan dan hantaran idea melalui aplikasi WhatsApp atau instagram sarat dengan motif perkauman. Status Orang Melayu dimomokkan sedang terancam akibat penguasaan kaum-kaum lain dalam bidang politik dan ekonomi. Sebagai reaksi, ada ahli yang terlalu emosi dan mengeluarkan kata-kata ancaman hingga disoal siasat oleh pihak polis. Yang sering menghantar kata-kata provokasi juga dinyahkan dari kumpulan dan akhirnya mencetuskan ketidakharmonian hubungan.


Nasib dan masa depan kita adalah tanggungjawab kita.


Untuk mengatakan weltanschuang (alam fikir) segelintir orang Melayu masih dalam kepompong asabiyah atau terjerat dalam kepompong politik mungkin tidak tepat. Jauh sekali menganggap Orang Melayu rasis kerana bukan Melayu juga pernah menyuarakan bantahan jika merasakan kedudukan mereka terancam. Jika tidak, masakan kaum Cina dan India sanggup bangkit mempertikaikan tiga helaian tulisan jawi yang bakal diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu. Begitulah juga kempen belilah barangan keluaran Muslim yang kemudiannya dimanipulasi kepada boikot barangan bukan Melayu.

BACA: Tun Mahathir pertahan kenyataan Melayu enggan kerja keras

Hal ini seolah-olah orang Melayu dan bukan Melayu digambarkan sedang bertelagah. Tidak wujud lagi keharmonian dan kedamaian serta persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Setiap kaum berlumba-lumba ingin mengatasi dan menguasai antara satu sama lain. Paling dibimbangi akan lahir kelompok seperti yang diistilahkan oleh Hassan al-Banna, al-mutahammisuma (bersemangat dan gopoh), iaitu ingin memetik buah sebelum masak dan hendak menuai sebelum musim!

Tanggungjawab bersama

Maka, hal ini harus difikirkan bersama khususnya pihak kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dan menjamin kelestarian orang Melayu tanpa mengkesampingkan kepentingan sah kaum-kaum lain. Kerajaan Pakatan Harapan perlu proaktif dalam menggubal dan menambah baik dasar sedia ada agar orang Melayu dan bumiputera berani berkecimpung sebagai pemain utama ekonomi negara. Syarikat-syarikat kerjasama antara orang Melayu dan bukan Melayu perlu diberi insentif istimewa sebagai wadah memperkembang daya saing berteraskan 'bangsa Malaysia' seperti yang didamkan melalui Wawasan 2020.

Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, ingatlah maksud Surah ar-Ra'd ayat 11: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Nasib dan masa depan kita adalah tanggungjawab kita.


* Penulis merupakan seorang pensyarah di UniKL RCMP Ipoh, Perak.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.