Masalah gangguan bekalan air di sekitar kawasan Chini di sini berikutan kemarau dijangka akan berakhir dengan pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membina kolam takungan berkenaan yang dijangka disiapkan dalam tempoh setahun lagi.

"Namun eruntukan RM18 juta itu hanya boleh membina saiz ORS bagi menampung bekalan air selama 11 hari sahaja semasa musim kemarau.

"Justeru saya ada meminta supaya dibina ORS yang saiznya boleh menampung bekalan air hingga 22 hari semasa musim kemarau. Pengerusi Felda yang turut bersetuju untuk usahakan dengan peruntukan yang lebih ini," katanya ketika membuat lawatan tapak ke Projek ORS Loji Rawatan Air Chini di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha untuk mendapatkan peruntukan RM18 juta ini telah dilakukan sejak tahun 2017 dan berjaya dipercepatkan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Katanya lagi, objektif utama pelaksanaan projek ini ialah untuk mengatasi masalah sumber bekalan air mentah yang sering berlaku di kawasan ini khususnya, mengalami musim panas dan kering serta isu taburan hujan yang rendah dan kurang.

"Selain itu, ORS ini juga dapat berfungsi sebagai pra rawatan untuk memastikan kualiti air mentah yang lebih baik, bertepatan dengan kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekalkan air bersih yang terawat kepada rakyat.

"Projek pembinaan ORS ini dijangka bermula pada September 2020 ini dan proses pembinaan mengambil masa selama 12 bulan. Proses panggilan tender akan dibuat pada bulan Jun 2020 ini juga oleh pihak Felda," katanya.

Katanya, dengan siapnya projek ORS ini nanti, ia akan memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Chini, Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan Gumum.