Masalah gangguan seksual perlu dipandang serius

Masalah gangguan seksual perlu dipandang serius
Masalah gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita perlu dipandang serius. - Gambar hiasan
PIHAK kerajaan perlu memandang serius di atas isu berkaitan dengan masalah gangguan seksual yang dilihat kerap kali dilaporkan dalam negara kita.

Baru-baru ini kita telah didedahkan dengan insiden gangguan seksual yang melibatkan mangsa seorang peguam wanita.

Tidak beberapa lama dulu, kita juga telah didedahkan dengan isu yang melibatkan seorang doktor pelatih yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh ketua jabatannya.

Masalah gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita perlu dipandang serius.

Selain daripada mengunakan pendekatan proses pendidikan bagi melahirkan kesedaran orang ramai terhadap isu gangguan seksual ini, negara kita juga perlu memiliki satu bentuk perundangan yang kuat terhadap isu berkenaan.

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku.

Mangsa gangguan seksual boleh mengambil langkah perudangan melalui beberapa jenis saluran seperti melalui Undang-Undang Buruh ataupun Kanun Keseksaan.

Untuk kakitangan awam, pihak kerajaan telah mewujudkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan) 2002 dimana peraturan 4A (1) memperuntukkan bahawa seseorang pegawai awam dilarang melakukan gangguan seksual iaitu (a) Cubaan merapati/meminta layanan seksual; (b) melakukan perbuatan bersifat seksual menyebabkan seseorang yang waras tersinggung, terhina atau terugut.

Peraturan 4A (2) terbabit turut juga menyenaraikan bentuk gangguan seksual iaitu secara lisan, bertulis dan lain-lain ianya tidak terhad di tempat kerja / waktu kerja selagi mencemarkan imej Perkhidmatan Awam.

Gangguan seksual merupakan salah satu perlakuan yang dilarang mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sekiranya seseorang Pegawai Awam Didapati telah melakukan Gangguan seksual, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana telah melanggar peraturan terbabit.

Pada tahun 2005, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan satu pekeliling untuk penjawat awam iaitu ”Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam”.

Pada tahun 2018 pula, pihak JPA telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 bertajuk “Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja”.

Kewujudan garis panduan ini memperkemaskan lagi sektor perkhidmatan awam kerana ia menjelaskan maksud gangguan seksual dan memberi huraian mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap diri pelaku.

Pada penghujung tahun 2012, satu usul telah dikemukakan bagi mengenakan peraturan melarang ahli Parlimen daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur seksisme.

Perenggan 4 dalam Peraturan Mesyuarat 36 dipinda dengan memasukkan ayat "atau membuat perkataan yang seksis’ selepas perkataan ‘biadap’.

Sekaligus menjadikan Peraturan Mesyuarat 36(4) di Parlimen berbunyi “Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis”.

Disebabkan masalah gangguan seksual yang meluas bukan sahaja tertumpu dikalangan kakitangan awam, Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan “Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja” pada tahun 1999 khusus untuk melindungi pekerja di sektor swasta.

Berdasarkan Kod Amalan tersebut, gangguan seksual dibahagikan kepada dua iaitu gangguan secara langsung dan gangguan secara tidak langsung.

Gangguan secara langsung bermaksud pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya 'quid pro quo'.

Quid pro quo berlaku apabila sasaran dijangka akur dengan tingkah laku gangguan seksual kerana mengharapkan ganjaran seperti kenaikan pangkat atau mengelakkan daripada menerima ancaman yang lebih teruk.

Ia melibatkan pengaruh kuasa dimana majikan atau pegawai atasan mempunyai kuasa mengambil dan memberhentikan pekerja.

Jika pekerja itu tunduk kepada kehendak majikannya, dia akan dinaikan pangkat atau menerima gaji yang lebih lumayan.

Walaubagaimanapun sekiranya pekerja tersebut menolak kehendak majikannya, dia akan kekal dengan kedudukan yang ada sampai bila-bila masa atau dibuang kerja.

Manakala gangguan seksual secara tidak langsung pula merupakan perlakuan yang dilakukan sama ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi dan fizikal.

Bagi undang – undang buruh pula, penggunaan Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] boleh digunakan sebagai pampasan (remedy) untuk mangsa.

Bermula 1 April 2012, pindaan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] telah dilakukan dengan memasukkan satu bahagian baru untuk gangguan seksual iaitu Bahagian XVA yang meliputi Seksyen 81A sehingga 81G.

Majikan dan kakitangan yang berhadapan masalah gangguan seksual di tempat kerja, akan dilindungi apabila majikan diwajibkan menyiasat aduan berhubung kes berkenaan melalui pindaan

Akta Kerja 1955 [Akta 265] terbabit. Jika pihak majikan gagal mematuhi arahan melaksanakan prosedur tatacara siasatan seperti yang telah ditetapkan, pihak majikan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000.

Bagi tindakan jenayah pula, gangguan seksual boleh disiasat mengikut beberapa peruntukkan dibawah Kanun Keseksaan [Akta 574] seperti Seksyen 509 yang membabitkan pengunaan sebarang perkataan atau isyarat, Seksyen 354 bagi kes yang melibatkan serangan atau pengunaan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan, dan Seksyen 355 bagi kes yang melibatkan serangan atau pengunaan kekerasan jenayah dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan seseorang.

Walaupun terdapat pelbagai jenis peruntukkan undang-undang mengenai perkara ini, pihak kerajaan digesa supaya memperkenal akta khusus berkaitan dengan isu gangguan seksual seperti yang telah dicadangkan oleh pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita agar kesalahan itu dapat diselesai mengikut peruntukan undang-undang yang lebih jelas tanpa menumpang atau menggunakan akta lain seperti yang dinyatakan diatas yang mempunyai kelemahan masing-masing terutamanya dari aspek skop pemakaian undang-undang terbabit dan proses pembuktian yang tinggi.

Undang-undang khusus mengenai gangguan seksual yang ingin diwujudkan mestilah mempunyai dua matlamat penting.

Pertamanya ia mestilah mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual dan keduanya ia haruslah menyediakan kepada pihak mangsa satu bentuk pembelaan undang-undang yang lebih sesuai, berkesan dan bermakna.


*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.


 



Tag: gangguan seksual, mangsa, garis panduan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.