Isu melibatkan masalah internet dan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar menjadi antara perkara yang sering diperbualkan rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kajian dilakukan Berkshire Media melibatkan 1.78 juta sampel data di media sosial, sejumlah 155,296 data membincangkan isu pendidikan.

Isu atau masalah ini bukan didominasi oleh tenaga pengajar atau pelajar di peringkat rendah atau menengah, sebaliknya ia merupakan perkongsian daripada golongan profesional dan penuntut di peringkat pengajian tinggi.

“Golongan profesional dan pelajar di peringkat pengajian tinggi mengadu berkenaan kesukaran pembelajaran dalam talian di rumah, sama ada kekurangan akses internet di kawasan pedalaman atau kekurangan infrastruktur.

“Juga terdapat kekangan kepada penuntut pengajian tinggi dalam menjalankan tugasan berkumpulan,” memetik laporan itu.

Pada sama sama, antara isu pendidikan yang dibincangkan adalah dalam kalangan ibu bapa.

“Ibu bapa meluahkan kekecewaan berkenaan pembelajaran di rumah (Home Based Learning - HBL) disebabkan pelbagai isu seperti sistem dan teknologi yang tidak sesuai selain berkenaan masa yang diluangkan untuk menjalankan HBL,” tambah laporan itu lagi.

Selain itu, ruangan media sosial turut dilimpahi ucapan penghargaan dan empati terhadap golongan pendidik yang berusaha menangani cabaran dalam membangunkan modal insan negara.

Birkshire Media dalam laporannya turut melakukan unjuran masa hadapan berkenaan kemunculan inovasi baharu pembelajaran seperti e-pembelajaran.

Malah, ibu bapa juga akan semakin menyesuaikan diri dalam cara pengajaran baharu.

Pada sama sama, dijangka akan berlaku perubahan melibatkan sistem pendidikan sektor awam pada kadar yang sedikit tetapi secara berperingkat seiring penyesuaian pembelajaran menerusi TV pendidikan untuk menembusi kawasan luar bandar.