Kurang tujuh hari lagi, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Syawal dalam normal baharu susulan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu juga, ketika larangan rentas negeri dikuatkuasakan, ada individu masih berdegil dan mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman.

Sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di Tol Gombak malam tadi menyaksikan mereka yang ditahan gagal menunjukkan dokumen kebenaran rentas negeri selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Menurut Ketua Polis Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe, semalam sahaja sejumlah 150 kenderaan di arah berpatah balik di Ops SJR Tol Gombak.

Ia hasil pemeriksaan ke atas lebih 800 buah kenderaan.

Hari ini turut menyaksikan tindakan sama apabila sekurang kurangnya 60 pemandu kenderaan gagal mengemukakan dokumen permit rentas negeri daripada polis.

Antara alasan yang diberikan ialah masalah rumah tangga dan ingin melangsungkan akad nikah, kata Arifai.

"Jadi saya nak ingatkan di sini, di tol ini dan di SJR yang lain, pihak polis yang bertugas di SJR itu akan meminta dokumen ditunjukkan untuk kita periksa. Sekiranya benar, valid, kita akan lepaskan.

"Jadi diharapkan pada orang ramai, dapatkan kebenaran di balai polis dahulu sebelum memulakan pergerakan," kata Arifai.

Katanya lagi, kerajaan sudah memberi pelepasan pergerakan rentas negeri pada 7 hingga 10 Mei lepas, dan alasan bukan berbentuk kecemasan seharusnya tidak ada lagi.

Jelasnya, polis akan mengenakan tindakan lebih tegas seperti mengenakan pembayaran kompaun di lokasi sekiranya masih ada individu yang degil merentas sempadan negeri tanpa kebenaran.

Ia bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Orang ramai dinasihatkan agar kekal patuh kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini terutama ketika musim perayaan nanti.

Beliau ditemui di lokasi sekatan jalan raya di Tol Gombak malam tadi.