Malaysia perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi memastikan tahap integriti, terutamanya dalam perniagaan berada di tahap sepatutnya.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar berkata ini penting supaya Malaysia dapat menjadi destinasi yang menarik untuk para pelabur.

"Jika tahap integriti dalam perniagaan di negara ini tinggi, sudah pasti kita juga yang untung.

"Jumlah pelaburan yang meningkat akan mengukuhkan ekonomi negara," kata beliau.

Akhbar berkata demikian ketika pelancaran Laporan Penilaian Business Integrity Country Agenda (BICA) untuk Malaysia di Hotel Royale Chulan di ibu negara.

Walaupun beliau mengakui bahawa pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti secara keseluruhan, namun masih banyak inisiatif yang boleh diambil kerajaan.

"Ini termasuk duduk semeja dengan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk memastikan integriti berada di tahap tertinggi," kata beliau.