Exco kerajaan negeri Paul Yong Choo Kiong dilihat tetap hadir ke Persidangan Dewan Negeri Perak ke-14 hari ini walaupun sebelum ini dia mengumumkan bercuti daripada tugas-tugas rasmi sebagai ahli Exco.

Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dilihat menjawab soalan dari ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng berhubung isu lambakan rumah yang tidak terjual di Perak.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan beliau memaklumkan keputusannya untuk bercuti daripada menjalankan tugas rasmi kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya sebelum ini, beliau masih akan berkhidmat sebagai ADUN Tronoh seperti biasa.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya Julai lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan setelah didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes rogol itu bermula 11 hingga 15 November, baru-baru ini Mahkamah Sesyen Ipoh membenarkan pasukan pembelaan untuk menangguhkan kes rogol itu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan untuk membolehkan mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana banyak isu perundangan timbul terutamanya membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Sementara itu, Yong dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ahmad Faizal menyokongnya kembali bertugas seperti biasa, setelah perbincangan diadakan di antara mereka.

Katanya lagi, penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa.

"Sehingga hari ini, saya masih kekal dengan kenyataan saya, iaitu saya tidak terlibat dalam tuduhan terhadap saya dan saya dianiayai.

"Saya merupakan mangsa kepada keadaan yang sebenarnya," katanya.