Angka kes melibatkan tangkapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatatkan peningkatan yang mendadak di kawasan Serdang sekaligus membuktikan masih terdapat masyarakat yang berdegil berhubung pelaksanaan PKP di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihak polis turut mendapat kerjasama yang baik di kalangan masyarakat dalam membantu pihak polis meyalurkan maklumat berhubung isu berkenaan.

“Berdasarkan statistik , IPD Serdang mencatatkan 107 orang tangkapan berkaitan kesalahan melanggar arahan PKP sepanjang tempoh PKP setakat 30 Mac.

“Kita dapat kerjasama daripada persatuan penduduk untuk diberi maklumat berhubung pelanggaran PKP dan akan terus ke lokasi aduan, dan kita juga telah hebahkan nombor aduan kepada orang ramai," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, polis menerusi inisiatif di daerah Serdang turut menubuhkan kumpulan tangkapan khas yang akan bergerak secara 24 jam dalam usaha memperluaskan lagi kawasan rondaan termasuk kawasan perumahan bagi memburu individu yang masih ingkar dengan perintah PKP.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus akur dengan perintah PKP khsususnya di daerah Serdang atau sebaliknya akan berdepan tindakan tegas oleh pihak polis.

Mana-mana individu yang mengingkari perintah PKP boleh didakwa di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dimana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pesalah juga akan berdepan kesalahan di bawah Peraturan 7 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.