Alasan seorang wanita warga China yang menyatakan dirinya bekerja di sebuah premis urut untuk memperoleh wang supaya dapat kembali ke negara asal tidak meyakinkan pihak berkuasa, apabila suspek dicekup kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Suspek berusia 37 tahun itu disyaki tiba ke negeri ini sejak dua minggu lalu dengan menggunakan pas pelancong.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang ditahan di sebuah pusat refleksologi pada Selasa lalu itu akhirnya mengaku terlibat secara langsung dengan kegiatan haram berkenaan.

Jelasnya, pemeriksaan turut mendapati wanita warga China itu tidak mempunyai sebarang permit berkerja yang sah.

Malah selain itu, suspek juga difahamkan menawarkan perkhidmatan seks kepada setiap pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan urut badan dengan bayaran sebanyak RM200 sekali langganan.

"Suspek mendedahkan telah datang ke Kota Kinabalu lebih kurang dua minggu lalu sebagai pelancong dan kemudian bekerja di premis tersebut untuk mendapatkan wang balik ke negara asal.

"Wanita itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya.

Habibi berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.