Masyarakat bertamadun bukan sahaja perlu mempunyai rasa bertanggungjawab dan prihatin terhadap sesama manusia, tetapi juga kepada binatang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata masyarakat perlu prihatin dan memperdulikan nasib binatang di sekeliling bagi mengelak kepupusan.

"Jika kita tidak peduli dan anggap binatang ini sesuatu yang boleh dilupuskan, maka satu hari nanti tidak akan ada lagi binatang dalam dunia ini.

"Sebab itu, di dunia ini kita perlu pelihara binatang, jangan aniaya binatang supaya tidak pupus daripada alam sekitar dan persekitaran kita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman oleh Yayasan EMKAY, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Jumaat.

Mengenai program pemuliharaan orang utan yang dilakukan oleh YPOUBM, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan sebagai ciri masyarakat bertamadun.

"Kita berbangga bahawa kita adalah manusia bertamadun. Manusia bertamadun perlu ada kesedaran sivik, perasaan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

"Apabila mereka berjaya dapat mengumpul wang maka sebahagian daripada wang itu dipulangkan kepada masyarakat dan ini satu agenda yang perlu ada dalam syarikat ," katanya.

--BERNAMA