Candi nombor 11 yang ditemui baru-baru ini di Sungai Batu, Merbok, tiada kaitan dengan mana-mana pihak, malah ianya hanyalah tinggalan sejarah lampau kerajaan Kedah Tua sejak kurun ke-7 hingga kurun ke-13 Masihi.

Ini adalah pendapat penduduk yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Rata-rata penduduk yang ditemui oleh Astro AWANI berkata bahawa penemuan Candi itu hanya berdasarkan batu-batu dan tiada binaan Candi asal ditemui.

Mereka juga turut berasa isu ini tidak perlu dijadikan satu isu yang diperikaikan.

Malah penduduk sendiri ada antara mereka yang tidak mengetahui kewujudan Candi itu sehinggalah digembar-gemburkan pihak media dan pihak tertentu yang berkunjung ke kawasan itu.

Walaupun terdapat kesan sejarah namun ia kini hanya saki-baki yang masih tertinggal yang tidak melibatkan binaan-binaan besar seperti di Borobodur dan Angkor Watt.

Mereka mengakui, kawasan sungai batu dan lembah bujang memang mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah yang telah lama ditinggalkan dan ianya harus dipelihara secara bersama.

Mereka percaya ia merupakan tinggalan orang Melayu yang beragama Hindu yang menjadi penduduk asal di sekitar Sungai Batu sebelum kedatangan agama Islam.

Tinjauan Astro AWANI ke tapak berkenaan menemui batu-batu sungai serta serpihan bata-bata lama yang berlonggokkan di sekitar kawasan tersebut.

Kelihatan juga kerja-kerja mengorek dan mengangkut tanah sedang dilakukan 500 meter dari tapak terbabit yang diletakan pita larangan menceroboh oleh pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani.

Sementara itu, sejarah negara, Prof Dr Zainal Keling mengakui Merbok dan Lembah Bujang mempunyai sejarah panjang yang patut diketahui seluruh rakyat negara ini.

Beliau berkata kebanyakan Candi-Candi yang ditemui merupakan penempatan yang didiami kerajaan-kerajaan Melayu Kedah yang beragama Hindu sejak kurun ke-7 lagi.

Tinggalan ini juga katanya bukanlah tinggalan yang besar tetapi hanya tapak-tapak batu merah yang telah dibangunkan semula oleh pihak muzium suatu ketika dulu sebagai warisan zaman lampau.

Candi 11 itu menjadi tumpuan ramai ekoran tindakan meroboh oleh pemaju Saujana Sdn Bh.

Justeru itu, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata sememangnya beliau berhasrat untuk mewartakan semua tapak warisan malah telah beberapa kali berusaha mendapat pengiktirafan Unesco untuk mewartakan Lembah Bujang sebagai tapak warisan antarabangsa.

Mukhriz berkata beliau akan membuat cadangan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membangunkan kawasan tamadun yang bersejarah agar menjadi pusat tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.