Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terus berteka-teki apabila ditanya berkenaan status peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan program MyBrain.

Beliau yang akan membuat satu kenyataan khusus berkenaan perkara itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik bila ia akan dikeluarkan.

“Kita akan buat pengumuman kemudian. Akan dibuat kenyataan,” jawabnya ringkas kepada media di Sekolah Rendah Islam Al Ainani di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma anjuran Hospital Pakar Al Islam Kg Baru.

Sebelum ini, di Parlimen, Maszlee turut memberi respon yang hampir sama apabila ditanya berkenaan perkara-perkara berkaitan polisi atau dasar membabitkan kementeriannya.

Baru-baru ini, media tempatan arus perdana berbahasa Cina melaporkan Maszlee berjanji untuk menyalurkan peruntukan melalui kerajaan Pakatan Harapan kepada SMPC di mana ia dikatakan akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

Malah, menerusi program “Bicara Khas Bersama Menteri” terbitan RTM pada 25 Julai lepas, Maszlee memaklumkan bahawa program MyBrain iaitu skim pembiayaan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan untuk Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PHD) ditangguhkan.

Jelasnya, program tersebut ditangguh kerana kerajaan sebelum ini meninggalkan hutang yang begitu banyak.