Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menjelaskan beliau bukan sengaja untuk tidak menghadirkan diri sewaktu sidang Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.

Malah katanya, ketika sidang Parlimen untuk pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu, beliau perlu mewakili Kerajaan ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO ke-206 di Paris, atas arahan Kabinet.

“Itu disebabkan oleh kerana saya telah menghadiri sidang UNESCO ke 206 mewakili kerajaan Malaysia dengan arahan Kabinet dimana pergi ke sana, ia tidak mendapat liputan, saya tidak bawa wartawan dan mendapat liputan yang besar.

“Saya pergi sendiri dan kita telah mewakili Kerajaan untuk menyampaikan beberapa pendirian Malaysia kepada UNESCO, selepas pulang UNESCO saya menerima jemputan dari Putera Mahkota Ajman dari UAE dalam rangka kita untuk menghantar mendapatkan biasiswa bagi para pelajar Malaysia belajar di Gulf Medical University.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu antara empat Ahli Parlimen yang tidak menghadiri proses pengundian sewaktu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak.

Perkara itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan kekurangan empat undi bagi mendapat sokongan majoriti 148 undi dalam usaha meminda Perlembagaan Persekutuan.