Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sejurus beliau menjawat jawatan itu.

Exco GERAK, Prof Madya Dr Faisal Hazis berkata Maszlee telah bersetuju untuk membebaskan institusi pendidikan tinggi daripada sebarang pengaruh politik.

Bagaimanapun, Faisal mewakili Gerak mempersoal mengapa Maszlee bersetuju menyandang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus bertentangan dengan janjinya sebelum ini.

"GERAK pada awal dahulu telah mengumumkan pelan atau syor untuk perkasakan universiti awam (UA) dan dikembalikan autonomi kepada universiti. Salah satu daripadanya adalah untuk pastikan tiada lantikan politik dalam lembaga pengarah universiti.

"Kita telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan beliau (Maszlee) dan beliau telah menyokong dasar dan saranan yang kita beri. Beberapa minggu lepas, lima atau enam pengerusi lembaga pengarah UA telah tamat perkhidamtan kerana lantikan politik.

"Kita menyambut baik usaha tindakan yang dilakukan beliau tetapi apabila beliau sendiri menjadi Presiden UIAM, ini yang menimbulan tanda tanya mengapa perkara ini berlaku semula?" soal Faisal ketika ditemu bual Astro AWANI dalam rancangan Komen Tengahari hari ini.

Ujarnya, tradisi bahawa Menteri Pendidikan akan menjadi Presiden UIAM tidak patut diteruskan kerana ia merupakan tradisi di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Faisal pada masa sama tidak menolak kemungkinan budaya lama pentadbiran universiti awam telah berakar umbi dalam institusi tersebut.

"Memang budaya lama itu masih berakar umbi. Bagi saya Gerak telah menggesa supaya pentadbiran tertinggi universiti di Malaysia diubah.

"Dalam tempoh empat bulan kerajaan baharu, ramai lembaga pengarah dan Naib Canselor telah ditamatkan kontrak dan tiada yang ganti. Ini yang berlaku di univerisit awam dan ia masih status quo dengan budaya lama," katanya.