Tutup

Maszlee sifatkan filem Tamil 'Raatchasi' terjemahkan aspirasi beliau

Maszlee sifatkan filem Tamil 'Raatchasi' terjemahkan aspirasi beliau
Maszlee menjelaskan filem itu mempunyai jalan cerita yang luar biasa dan watak sempurna. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan filem Tamil 'Raatchasi' telah menggambarkan dasar dan perubahan yang sedang digubal untuk dilaksanakan dalam pendidikan negara.

Beliau berkata filem itu menterjemahkan aspirasi beliau antaranya inisiatif Program Sarapan Percuma yang juga ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak murid.

Maszlee menjelaskan filem itu mempunyai jalan cerita yang luar biasa dan watak sempurna yang dilakonkan oleh pelakon utama, Jyothika.

"Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita.
"Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil," katanya dalam catatan di Facebook, Twitter dan Instagramnya hari ini selepas beliau menonton bersama pegawainya pada Ahad.

Filem Raatchasi, arahan S Gowthamraj itu memaparkan Jyothika memainkan peranan utama dalam mengharungi liku dan ranjau sebagai seorang guru besar yang berdisiplin tegas ingin memperbaiki keadaan sekolah daif yang dikendalikan oleh kerajaannya.
Maszlee memberitahu filem itu turut menyentuh isu keciciran murid yang mana watak Geetha telah berjaya melibatkan semua pihak untuk mengatasi isu keciciran murid termasuk pihak polis.

"Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan penguatkuasaan' itu berlaku di semua penjuru agar tiada lagi kanak-kanak yang tercicir," katanya.

Beliau juga berkongsi, watak Geetha berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dan menubuhkan seolah-olah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) untuk memastikan ibu bapa terlibat aktif dengan pendidikan anak-anak mereka.

Menjadikan pendidikan sebagai visi kolektif semua pihak adalah antara hasrat terbesar beliau kerana Maszlee yakin pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikanlah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau juga menyarankan semua pihak termasuk semua warga pendidik, ibu bapa, murid-murid untuk turut menonton filem itu.

Sejak kebelakangan ini, filem berdurasi dua jam 14 minit itu tular dalam kalangan pengguna media sosial terutamanya netizen Melayu kerana tertarik dengan jalan ceritanya.

-- BERNAMA