Mat Dan kini pemegang status Penduduk Tetap

Mat Dan kini pemegang status Penduduk Tetap
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Mat Dan ketika majlis perasmian Ekspo Terengganu, pada Isnin. - fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Mat Dan menerima kejutan selepas Timbalan Perdana Menteri meluluskan permohonan statusnya sebagai Penduduk Tetap (PR).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan Mat Dan diluluskan selepas melalui proses yang ditetapkan.

“Saya telah mengkaji permohonan Mat Dan. Dia telah memohon dan syarat-syarat kelayakan untuk menjadi penduduk tetap itu telah dipenuhinya. Dan kita telah meneliti dari segi aspek keselamatan dan sumbangannya bukan hanya untuk kerajaan Terengganu tetapi  secara tidak langsung juga telah menyumbang kepada kerajaan Malaysia apabila mempromosikan produk-produk dari negeri Terengganu dan juga mempromosikan negeri Terengganu," kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di Kuala Nerus pada Isnin.

Sementara itu Mat Dan berkata, kelulusan mendapatkan status Penduduk Tetap adalah hadiah paling berharga dan bersyukur penantiannya sejak sekian lama berakhir dengan kegembiraan.

“Dari dulu lagi saya memang mengidamkan status sebagai Penduduk Tetap. Saya sudah menetap di negara ini sejak 2009 dan sangat sayangkan negara ini.

“Apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri meluluskan permohonan, saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya.

Mat Dan atau nama sebenarnya Daniel Tyler, dilahirkan di England dan mula menetap  di Malaysia selepas pengembaraan  ke Pulau Kapas, Marang,  pada tahun 2009 dan telah memeluk agama Islam .

Dia dikenali kerana kefasihan  bertutur menggunakan dialek Terengganu dan menjadi pengacara beberapa program pengembaraan terbitan Astro.