Bekas juara Kejohanan Malaysia Cup Prix yang merupakan lagenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid,45 mengetuai konvoi "Ride to Hajj" yang akan mengembara menggunakan motor kapcai bagi menunaikan haji di Mekah.

Pengerusi program Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, program ini bukti semangat patriotisme yang ada pada mat motor yang selama ini kerap dipandang negatif oleh masyarakat.

"Kita nak tunjuk barangan buatan Malaysia boleh sampai ke Mekah iaitu Modenas GT128.

"Kita juga hendak buktikan mat motor mempunyai sifat patriotik yang mendalam dan semangat ini perlu dipupuk untuk anak muda kita," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian dan Pelepasan Konvoi "Ride to Hajj" oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Kumpulan konvoi ini turut disertai empat orang iaitu Meor Azhar Meor Raflan, 43, Napiah Mat Noor, 50, Othman Darus, 49 dan Azman Baharuddin, 52 yang juga penunggang berpengalaman.

Konvoi lima kapcai Modenas terbabit bakal merentasi beberapa negara termasuk Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran sebelum memasuki Arab Saudi merangkumi keluasan 11,000 kilometer.

Ride to Hajj
Selepas tiba di Mekah, mereka dijangka membuat lawatan ke Al Mashaeer Al Mugaddasah, Metro Southern line, Mekah yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad untuk meninjau operasi tren ketika musim haji.

Kemuncak kembara konvoi ini termasuk program menunaikan haji sekali gus mencatatkan sejarah sebagai rakyat Malaysia menyempurnakan ibadat berkenaan melalui jalan darat dengan bermotosikal.

Umat Islam dijangka menjalankan ibadah wukuf di Arafah pada 12 September depan.