China dan Amerika Syarikat berhak mempertahankan kedudukan mereka di Laut China Selatan selagi ia tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata hal itu dibincangkan dalam ruang lingkup dasar berkecuali ketika mengadakan pertemuan bersama Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhi.

“Memang kita kena elakkan konflik terutama di Laut China Selatan. China sekarang nak kembangkan pengaruh mereka, Amerika juga mahu kembangkan pengaruh mereka.

"Itu hak mereka, tetapi jangan ganggu kedaulatan Malaysia,” jelasnya kepada Astro AWANI.



Beliau turut menyentuh isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan di mana rundingan akan diteruskan oleh Kementerian Luar.

“Saya yakin atas persahabatan yang lama dalam ASEAN ini kita dalam selesaikan masalah itu di meja rundingan,” katanya.

Isu Laut China Selatan menjadi antara topik perdebatan antarabangsa apabila China mula giat membina pulau-pulau buatan di wilayah yang dipertikai.

Mengenai isu ancaman pengganas di Pantai Timur Sabah pula, Mohamad mengakui ancaman berkenaan sudah semakin kurang susulan usaha rondaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

Beliau juga yakin hubungan ketenteraan Malaysia dan negara jiran seperti Filipina berada pada tahap keakraban terbaik terutama dalam mendepani ancaman keselamatan di kawasan tersebut.

Menerusi temu bual itu juga, Mohamad berkata beliau tidak mahu bertindak berdasarkan khabar angin apabila melibatkan ketirisan dan penyelewengan yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan.

Pada masa sama, beliau mahu memastikan kebajikan veteran tentera akan terus menjadi keutamaan kementeriannya.