Reman terhadap lelaki yang ditahan kerana menanam pokok ganja di hadapan rumahnya di Jalan Datuk Kumbar Rabu lalu disambung tujuh hari lagi untuk polis melengkapkan kertas siasatan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, suspek berusia 38 tahun itu direman sehingga 24 Jun depan.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, suspek ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Narkotik IPD Kota Setar selepas menerima maklumat suspek menanam pokok ganja itu di halaman rumahnya di Jalan Datuk Kumbar.

Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku menanam pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri.

Pemeriksaan lanjut di sekitar rumah polis menemui empat pokok ganja dan dibawa balik ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.


Suspek yang dikenali “Mat Tarzan” itu turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif ganja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1) ADB 1952.


BACA:
Pokok ganja subur di halaman rumah, 'Mat Tarzan' beri alasan ia disangka pokok buluh