"Perubahan pelik daripada periang menjadi pendiam memberi petanda ayah akan pergi buat selamanya".

Itu yang sempat diceritakan anak sulung mangsa, Amir Suhaimi, 39, yang mana arwah ayahnya seorang yang ceria dan amat sayangkan cucu-cucunya.

Bukan itu sahaja, arwah juga sanggup berkorban menjaga arwah ibunya yang lumpuh selama tujuh tahun.

Amir terkejut saat menerima berita tentang kejadian yang menimpa bapanya kira-kira jam 5.30 petang tadi lalu bergegas ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Dalam kejadian ribut petang tadi, bapanya, Johari Zakaria, 60, yang bekerja di sebuah kilang perabot dekat Gunung Kerjang meninggal dunia ditempat kejadian selepas dihempap dinding konkrit.

Manakala seorang lagi mangsa, Lom Bon chew, 30 cedera di kepala akibat terkena serpihan bata.

“Semasa saya terima panggilan itu, mereka kata terperangkap dan masih tidak tahu identiti mangsa.

“Kira-kira jam 5.30 petang saya terima panggilan yang mengesahkan ayah terlibat dalam insiden tersebut. Arwah terlibat dalam insiden runtuhan dinding kilang yang menghempap kepala,” ujarnya.

Foto: Astro AWANI

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba, Pegawai Kanan Dua, Mohd Firdaus Daud mengesahkan pihaknya menerima panggilan pada jam 4.54 petang.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihaknya menemui dua mangsa berada di bawah runtuhan bumbung.

Katanya, anggota bomba berjaya mengeluarkan mayat yang tersepit, manakala seorang lagi dikeluarkan tidak lama selepas itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut..

Kejadian hujan ribut lewat petang tadi mengakibatkan beberapa buah rumah di sekitar kawasan Gunung Keriang turut mengalami kerosakan apabila bumbung dan dinding rumah mereka diterbangkan angin kuat.