Seorang lelaki maut dihempap sebatang kayu yang jatuh ketika cuba mengikat kayu berkenaan di atas sebuah lori treler di sebuah kilang Jalan Parit Raja, Batu Pahat, Johor, pada awal pagi Sabtu.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 pagi, pada Sabtu.

“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa dikenali sebagai Noradi Wahasi, 48, dihempap sebatang kayu yang jatuh semasa kerja-kerja mengikat kayu di atas sebuah lori treler.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.