Empat beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 161.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berdekatan Hentian Rehat dan Rawat Maran pagi tadi dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman selepas beli-belah di ibu negara bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Empat beranak berkenaan Azian Abdullah, 50, dan tiga anaknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Dua lagi mangsa juga anak Azian iaitu Mohd Shahrul Ikhram, 20, dan Fatin Nur Athirah, 19, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Difahamkan, kesemua enam beranak itu dikatakan bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu kerana ingin membeli keperluan sempena Aidilfitri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian jam 8.30 pagi itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Mohd Shahrul Ikhram terbabas ke kiri jalan dan melanggar bahagian hujung penghadang jalan sebelum menembusi kenderaan mereka.

"Semua mangsa tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan anggota bomba kira-kira jam 9.46 pagi.

"Ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan jalan lurus menuruni bukit. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan saksi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara, kesemua jenazah empat beranak itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Chenih, Kemaman hari ini.