Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Bingkor Bypass, berhampiran Kampung Sasaie Bingkor, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Khamis, mangsa dikenali sebagai Azmin Aviu, 35 tahun, yang berada di tempat duduk penumpang kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan selepas tersepit pada kenderaan berkenaan.

Manakala rakannya, Melson Saperi, 27, yang memandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan di bahagian perut dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi Astro AWANI berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Pekan Keningau menuju ke kawasan Bingkor.

Kenderaan pacuan empat roda yang bertembung dengan kenderaan mangsa. - Foto ihsan IPD Keningau & JBPM

"Ketika tiba di lokasi selepas selekoh, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda dipandu oleh seorang wanita berusia 54 tahun.

"Impak daripada perlanggaran itu, mangsa iaitu penumpang hadapan sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian," katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.