Akibat tindakan 'kurang waras' dengan membakar kayu arang di dalam kereta, seorang lelaki ditemui mati disyaki membunuh diri kerana lemas terhidu asap dalam kejadian berhampiran semak di pantai Tanjung Aru Dua, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 5.27 petang, individu berkenaan, Liew Ka Ket, 42, ditemukan tidak sedarkan diri di kereta jenis Hyundai Ascent oleh sepasukan anggota polis yang menerima panggilan daripada orang awam berhubung kehadiran kenderaan terbabit yang mencurigakan di kawasan semak pantai itu.

Difahamkan ketika diperiksa, anggota bertugas mendapati kenderaan itu terkunci dari dalam sehingga memaksa mereka mendapatkan bantuan dari pihak bomba untuk memecahkan cermin sebelah kiri penumpang kereta itu bagi menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, hasil pemeriksaan mendapati asap yang berada di dalam kereta itu berpunca daripada arang yang dibakar di dalam sebuah bekas memanggang.

Arang yang dipercayai dibakar oleh mangsa di dalam sebuah bekas pemanggang di dalam keretanya sendiri.
"Lelaki itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas di dalam kereta miliknya sendiri akibat terhidu kepulan asap arang yang dibakarnya.

"Arang yang dibakar oleh mangsa masih lagi hidup waktu keretanya dibuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Chandra berkata, sepasukan petugas perubatan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi proses bedah siasat.

Tiada sebarang kesan luka atau lebam dijumpai di badan mangsa, kata polis.

"Pemeriksaan ke atas anggota badan mangsa juga tidak menjumpai sebarang kesan luka dan lebam.

"Setakat ini, kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan," katanya.