Mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terjatuh di Sungai Muar berhampiran jeti di bangunan milik Pejabat Daerah Muar pada lewat petang Isnin, ditemui kira-kira jam 2.40 petang ini.

Penemuan mangsa, Muhammad Faqih Mohd Fairuz, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan kuala Sungai Muar berhampiran Marina Bay pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pencarian bapa mangsa, Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36 tahun, yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian sama, masih belum menunjukkan sebarang petanda.

Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian sehingga jam 4.20 petang mendapati aset-aset pasukan penyelamat termasuk bot milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berlegar-legar di sepanjang Sungai Muar bagi mengesan mangsa kedua.

BACA: Anggota polis dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan anak

Dalam kejadian 6.45 petang semalam, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, dikatakan pergi ke bangunan pejabat daerah berkenaan untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan itu.

Mohd Fairuz datang bersama tiga anaknya, masing-masing berusia 9, 7 dan empat tahun.

Salah seorang anaknya kemudiannya berlari ke arah jeti dan terjatuh ke dalam Sungai Muar sebelum anggota polis tersebut terjun bagi menyelamatkannya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dihanyutkan oleh arus deras.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata, mayat Muhammad Faqih dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk siasatan lanjut.

“Usaha mencari bapa mangsa diteruskan dan kita lebihkan kepada ‘surface searching’ (pencarian di permukaan air) di Kuala Sungai Muar,” tambahnya.