Perintah tahanan reman enam sekeluarga termasuk ibu bapa bayi malang yang ditemukan mati di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin Ahad lalu dilanjutkan hingga 6 Ogos ini.

Perintah lanjutan terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Mohd Anuar Ostadi pada Ahad.

Perintah lanjutan reman dibuat bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Mayat bayi berusia enam hari yang masih berbalut kain lampin putih dan sempurna fizikal itu dijumpai orang awam di dalam perigi sedalam enam kaki.

Jasadnya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu.

Bayi itu pada awalnya dilaporkan hilang jam 7.45 malam Sabtu lalu oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka.

Enam sekeluarga itu ditahan selepas penemuan mayat bayi tersebut.

Sehingga kini, mayat bayi berkenaan masih di bilik mayat hospital dan belum dituntut oleh ahli keluarga.