Mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan ditemui penduduk di Madrasah Haji Sulaiman, Kampung Padang Kota, Sering, di sini, pagi ini.

Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui pada jam 7.20 pagi selepas jemaah masjid selesai menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mayat bayi itu dibungkus dengan sehelai kain sarung batik dan diletakkan di atas bangku di hadapan surau berkenaan.

"Pada jam 6 pagi, jemaah yang datang ke surau itu sudah melihat satu bungkusan kain batik berada di luar surau, namun mereka meneruskan solat Subuh terlebih dahulu dan tidak mencurigai apa yang ada di dalam bungkusan itu.

"Sebaik selesai solat, seorang jemaah kemudian memeriksa kain sarung batik itu dan menemui mayat bayi perempuan yang cukup sifat serta sudah berbau dan segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Pihak kami minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke balai polis berdekatan dan dalam masa sama sedang mencari ibu bayi itu untuk siasatan lanjut,” katanya.