Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Pangsapuri Taman Pauh Indah, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Mayat lelaki dipercayai warga tempatan tanpa identiti itu ditemukan penduduk di Blok A3 pangsapuri tersebut malam tadi.

Satu laporan polis dibuat penduduk pada jam 9.45 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa Bidin memaklumkan mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan kaki dan tangan berikat, manakala kepala pula ditutup dengan sarung bantal.

Mustafa berkata polis yang tiba di rumah tersebut mendapati pintu pagar hadapan rumah bertutup dan berkunci manakala pintu utama, kipas serta lampu di ruang tamu rumah terbuka.

Pasukan polis berjaya membuka pintu pagar dan menemukan seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu di bilik utama dalam keadaan terlentang berdekatan katil.

"Kaki dan tangan mangsa terikat serta kepalanya pula ditutup dengan menggunakan sarung bantal warna merah," katanya ketika dihubungi.

Mustafa berkata, berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya lelaki berkenaan meninggal dunia beberapa hari lalu.


Sementara itu, pemeriksaan mendapati keadaan rumah dan bilik berselerakan namun beg duit dan telefon bimbit mangsa tidak dicuri.

Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang pengenalan diri milik mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Polis mendapati terdapat unsur jenayah dan menggesa orang awam yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi balai polis berhampiran dengan segera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.