Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti dan dipercayai warga asing, yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, pada 6 April lepas, didapati positif COVID-19.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, kesemua 12 anggota polis yang bertugas mengendalikan mayat berkenaan, sudah diarahkan menjalani saringan kesihatan.

"Semua yang terlibat sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin diri di rumah masing-masing. Keputusan ujian saringan itu dijangka siap hari ini. Kita mendoakan semua anggota terlibat selamat daripada jangkitan virus berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Habibi berkata, kesemua anggota yang bertugas ketika itu telah mengambil langkah-langkah pemakaian selamat, termasuk memakai penutup hidung dan mulut, dan sarung tangan.

Sementara itu, beliau berkata mayat lelaki itu masih belum dituntut, dan setakat ini kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi, 6 April lepas, seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing, ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Mayat lelaki itu ditemui penduduk di kawasan bukit di kampung berkenaan, sebelum mereka menghubungi polis. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat, sebelum disahkan positif COVID-19 pada Sabtu lepas. - BERNAMA


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan dan panggilan adalah percuma.