Mayat dua beradik yang lemas selepas dihanyutkkan arus deras ketika mandi di muara Sungai Sepang, di sini pada Sabtu (31 Ogos) ditemukan hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam kenyataannya berkata, mayat Muhammad Hafiz Mohd Zainal, 14, ditemui pagi ini sementara mayat adiknya Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, ditemukan pada 1.40 petang.

"Mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh nelayan. Mayat Muhammad Hafiz ditemukan pada jarak 150 meter dari lokasi kejadian sementara mayat Siti Nuralya ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil mayat berkenaan dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua mangsa yang mandi bersama empat yang lain iaitu dua adik lelaki mereka yang berusia sembilan dan tujuh tahun serta dua orang sepupu dikhuatiri lemas pada kira-kira 3.30 petang selepas dipercayai tergelincir dan dibawa arus sungai.

Empat lagi iaitu dua adik mangsa dan dua sepupu berjaya menyelamatkan diri. - BERNAMA