Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Mayat dua beradik lemas Sungai Jelai ditemui

Mayat dua beradik lemas Sungai Jelai ditemui
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat. - Foto ihsan bomba
LIPIS: Mayat dua beradik yang lemas selepas dibawa arus deras Sungai Jelai ketika beriadah di Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini Khamis lalu, ditemui pagi ini.

Mayat Siti Suhaida Mohd Rosli, 15 tahun, ditemui jam 8.40 pagi oleh anggota polis, pada jarak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari kawasan kejadian.

Kakaknya pula, Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19 tahun, ditemui pada jam 9.20 pagi oleh anggota bomba kira-kira 3km dari lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor, kedua-dua mayat mangsa ditemui terapung dan tersangkut pada kayu.
"Kedua-dua mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lipis di sini untuk proses bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Foto ihsan bomba
Media sebelum ini melaporkan, kegembiraan lima beradik beriadah berakhir tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dibawa arus deras.

Mangsa dikatakan ke taman rekreasi di kampung itu bersama tiga lagi adik-beradik mereka kira-kira jam 4 petang.

Kedua-dua mangsa dikatakan bermain di gigi air dan secara perlahan bergerak ke tengah sungai, sebelum dibawa arus deras.