Mayat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Plentong pada petang Selasa telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Mayat Mohammad Fareezuan Anuar ditemui pada jam 10 pagi tadi, kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh .

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd Anuar Amdzah berkata, mayat mangsa dibawa ke Stulang Laut bagi tujuan pengecaman oleh waris mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada lewat petang Selasa, mangsa, Mohammad Fareezuan dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Plentong di Kampung Sri Makmur, Johor Bahru bersama adiknya, Mohammad Fahim Ikmal, 9, ketika bermain di kawasan itu.

BACA: Budak 12 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke sungai

Bagaimanapun, Mohd Ikmal berjaya diselamatkan rakannya selepas berpaut pada besi dan Mohammad Fareezuan dibawa arus deras sungai.

Sebelum kejadian, dua beradik itu dipercayai bermain bersama enam rakan mereka yang lain.