Mayat seorang kanak-kanak ditemukan 100 kaki dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam kejadian di Sungai Bidut, di sini, sekitar jam 9.30 malam tadi.

Jasad Julia Punama, 7, yang hilang sejak Ahad timbul di jeti bersebelahan tempat orang ramai berkumpul setelah air bacaan Yasin dicurahkan di tempat mangsa kali terakhir dilihat.

Terdahulu, bacaan Yasin telah disempurnakan oleh kariah sebuah surau berhampiran sambil mendoakan usaha pencarian dipermudah.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, sejurus menyedari mayat mangsa timbul, bapanya terjun ke sungai untuk mendapatkan mangsa.

"Sejurus mayat mangsa dinaikkan, bapa mangsa telah menghubungi pihak bomba dan polis.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis sekitar jam 12.30 tengah malam untuk prosedur lanjut," katanya lagi.

Pada Ahad itu, mangsa dilaporkan mandi bersama-sama sepupunya yang berusia 10 tahun sebelum kedua-duanya lemas.

Sepupu mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan.