Mayat seorang lelaki ditemui terapung kira-kira 4.6 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang pada Sabtu.

Mayat hampir reput itu hanya berseluar panjang hitam ketika dijumpai nelayan tempatan kira-kira jam 12.15 tengahari tadi.

Menyedari objek terapung yang mencurigakan itu, nelayan terbabit lantas menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, sejurus selepas itu, sebuah bot APMM telah digerakkan.

Katanya, mayat berkenaan dibawa ke Pengakalan Maritim Pulau Kambing, Kuala Terengganu kira-kira pukul 3 petang tadi.

Jelasnya, mayat tanpa identiti itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Mohd Suhaimi berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.