Tutup

Mayat lelaki lemas di Lumut ditemui

Mayat lelaki lemas di Lumut ditemui
Mangsa, S. Nehra Deva, 31, yang berasal dari Ayer Tawar dipercayai terjun ke dalam sungai untuk memancing ikan sebelum dihanyut arus deras dan gagal dikesan. - Gambar Hiasan
LUMUT: Mayat seorang lelaki dipercayai lemas di sekitar jeti memancing ikan, Jalan Kg Baru, Lumut berjaya ditemui oleh pasukan Mencari dan Menyelamat ( SAR) pada Jumaat.

Mangsa, S. Nehra Deva, 31, yang berasal dari Ayer Tawar dipercayai terjun ke dalam sungai untuk memancing ikan sebelum dihanyut arus deras dan gagal dikesan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zaki Zainol berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa pada lewat malam Khamis.

"Mangsa ditemui pada jarak 100 meter dari jeti di mana mangsa memancing ikan sekitar 08.24 pagi Jumaat dan kedalaman sungai pada waktu itu adalah setinggi 10 meter.
"Pada mulanya, kami meminta bantuan daripada unit anjing pengesan K9 untuk mencari mangsa namun dibatalkan kerana mangsa telah ditemui pada kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada pagi Sabtu.

Mohd Zaki berkata pihaknya telah menggunakan teknik 'surface-searching' di kawasan permukaan dan sepanjang tebing sungai untuk mengesan mayat mangsa.
Jelasnya, sebuah pos kawalan bomba telah dibuka bagi mengumpulkan maklumat mengenai mangsa serta keseluruhan operasi dibantu oleh enam anggota daripada PDRM dan JPAM.

"Mayat mangsa kemudiannya telah diberikan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut dan operasi telah tamat sepenuhnya," katanya lagi.