Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Mayat lelaki tinggal rangka ditemukan dalam longkang di tengah-tengah lebuh raya

Mayat lelaki tinggal rangka ditemukan  dalam longkang di tengah-tengah  lebuh raya
Mayat lelaki yang berasal dari Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka itu dijumpai orang awam di Kilometer 281.8 arah utara lebuh raya itu.- Gambar hiasan
NILAI: Mayat seorang lelaki yang hanya tinggal rangka ditemui di dalam longkang di Kilometer 281.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Nilai, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12 tengahari semalam oleh orang awam memaklumkan menemui satu mayat yang telah reput.

 

Katanya, siasatan awal mendapati mayat berkenaan merupakan lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an dan beralamat di Durian Tunggal Alor Gajah, Melaka.

 

“Siasatan di tempat kejadian telah menemui satu mayat disyaki lelaki yang tinggal rangka, lengkap berpakaian kemeja-T dan seluar panjang warna hitam selain mayat juga masih memakai topi keledar. 

 

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang yang terletak di tengah-tengah lebuhraya PLUS utara-selatan yang berkeluasan lebar lebih kurang 2 kaki dan kedalaman 2 kaki setengah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut jelasnya, tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan mangsa dan hasil siasatan pasukan forensik di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata.

 

“Pemeriksaan dibuat ke atas beg pinggang yang dipakai oleh mangsa telah menemui satu kad pengenalan dan lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150 dipercayai milik mangsa.

 

“Keluarga  mangsa juga telah dihubungi dan mengatakan kali terakhir mereka melihat mangsa pada 23 Mac lalu  ketika keluar dari rumah menaiki motosikal berjumpa kawan di Kuala Lumpur,” tambahnya.

 

Tambah Mohamad Nor Marzukee, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk di bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.