Tanda tanya orang awam yang lalu-lalang tentang bau busuk dari sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 35, Jalan Berkakap-Tanjung Manis di sini sejak Jumaat lepas, terjawab apabila mayat seorang lelaki warga emas dijumpai di dalamnya.

Mayat Law Siew Liong, 66, ditemui dalam keadaan terbaring mengiring dan melekat di celah tempat duduk pemandu pada jam 9 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, orang awam yang berasa curiga melihat lori tiga tan itu tidak bergerak sejak Jumaat lepas, telah menghampiri lori tersebut.

Katanya, pengadu bertambah curiga apabila terhidu bau busuk lalu menghubungi polis untuk memaklumkan insiden itu.

“Pihak polis kemudian memohon bantuan khidmat khas daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah untuk mengeluarkan mangsa dari lori tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lori tersebut telah diletakkan di lokasi kejadian sejak jam 4 petang, lima hari lepas.

Menurut Stanley, punca kematian lelaki terbabit belum dikenali pasti, namun anak mangsa ada memaklumkan bahawa bapanya menghidap penyakit darah tinggi.

Katanya, lori tersebut adalah milik mangsa untuk digunakan membawa hampas padi.

"Pemeriksaan mendapati barangan peribadi mangsa iaitu duit dan telefon bimbit masih berada di poket kiri kemeja yang dipakainya.

"Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Sibu mendapati tiada kesan luka atau tanda pergelutan dan hanya kepingan kulit akibat mereput pada tubuh badan si mati ditemukan," katanya.

Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.